08-04-2006 02:02:10 PM
KOTA BAHARU: Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menjemput Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyertai program Debat Perdana di RTM1 bagi membincangkan Rancangan Malaysia Kesembilan dari perspektif Islam, kata Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.
Beliau berkata surat rasmi akan dihantar kepada Nik Abdul Aziz berhubung perkara itu tidak lama lagi.
"Jemputan itu dibuat berikutan kesediaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa untuk bersemuka dengan Nik Abdul Aziz dalam perdebatan terbuka di RTM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Annuar mahu RTM memberi peluang kepada beliau dan Nik Aziz berdebat mengenai RMK9, semasa berucap pada satu majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang dirasmikan Zainuddin petang semalam.
Zainuddin berharap Nik Abdul Aziz akan menerima jemputan itu kerana beliau yakin program yang mengemukakan dua tokoh besar Kelantan itu sebagai sangat menarik dan ditunggu-tunggu orang ramai.
"Janganlah pula (Nik Aziz) tak terima, kerana sebelum ini pernah berlaku pemimpin pembangkang Lim Kit Siang dijemput tetapi telah menghantar anaknya (Lim Guan Eng)," katanya.
Beliau berkata usaha RTM ini merupakan kesinambungan kepada sikap keterbukaan dan kepercayaan kepada kebebasan (bersuara) kerajaan dengan menjemput ramai tokoh parti pembangkang untuk berbahas mengenai isu semasa melalui program Debat Perdana. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment