KOTA BHARU 9 April - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pelawaan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin untuk menyertai program Debat Perdana di RTM1 yang dianggapnya tidak membawa sebarang makna.
Beliau sebaliknya bersedia untuk bersama dengan pucuk pimpinan negara atau sesiapa sahaja termasuk Datuk Seri Annuar Musa berbincang di pentas ceramah di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, berdasarkan tajuk pilihannya sendiri.
Katanya, tajuk yang dicadangkan oleh Zainuddin berhubung Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) cuma persoalan `ranting' yang umum sudah ketahui akan kejayaan atau kegagalannya.
``Begini sahajalah. Saya akan sanggup berceramah di pentas yang sama bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Zainudin Maidin atau Annuar Musa atau sesiapa saja; di rumah mereka atau di rumah saya atau di rumah orang.
``Jika perlu di padang sekalipun, maka sila tetapkan mana-mana padang. Saya sangat bersetuju jika disiarkan secara langsung oleh RTM. Jangan ada potong-memotong,'' katanya di sini hari ini.
Mengundang
Beliau mengulas kenyataan Zainuddin bahawa RTM akan mengundangnya untuk menyertai Debat Perdana bagi membincangkan RMK-9 dari perspektif Islam.
Menurut Zainuddin, surat rasmi akan dihantar kepada Nik Abdul Aziz bagi membolehkan beliau dan Annuar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan muncul dalam program itu kelak.
Nik Abdul Aziz turut mencadangkan tajuk debat untuk program ceramahnya iaitu `Dasar dan Akidah Sesebuah Negara'.
``Pada saya, masalah akidah dan keimanan yang lebih tunjang. Malaysia beiman dengan apa dan bertuhankan apa?
``Ini perkara pokok yang tiada kompromi, perlu dimuzakarahkan dan diceramahkan segera,'' ujarnya.
Kata Mursyidul Am Pas itu, RMK-9 bukanlah suatu rahsia kerana ia cuma rancangan jangka panjang pembangunan negara melibatkan peruntukan tertentu seperti yang biasa dilakukan oleh kebanyakan negara berserta visi, misi dan pasukan pelaksana.
Katanya, Dasar Ekonomi Baru masih gagal dengan ekuiti Melayu yang sangat mendukacitakan, pengangguran siswazah yang semakin besar, penyalahgunaan wang, kenaikan harga minyak, inflasi, penagihan dadah dan AIDS di samping gejala murtad.
UM - 10 APr 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment