Fri | Apr 21, 06 | 03:16:40 PM
Oleh Abu Bakar Rahman
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - "Kecaman Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kurangnya kebebasan akhbar tidak boleh diketepikan begitu sahaja sekiranya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ikhlas dan serius mengenai ikrar pembaharuannya untuk mendengar kebenaran dari rakyat," kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat semalam.
Perdana Menteri juga, kata beliau, bertanggungjawab menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa kabinet sekarang telah 'menjual kedaulatan negara' dalam soal pembatalan jambatan bengkok ke Singapura.
Lim juga hairan, mengenai bagaimanakah kabinet boleh sebulat suara membatalkan projek jambatan itu sedangkan beberapa tahun lalu, kabinet yang hampir sama juga anggotanya, sebulat suara menyokong pembinaannya ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri?
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu seterusnya menegaskan Abdullah mesti menghadiri sesi perbahasan penggulungan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) minggu depan untuk memberi penjelasan sepenuhnya mengenai sejarah, fakta latar belakang dan sebabnya bagi menjawab dakwaan Dr Mahathir itu.
Dr Mahathir, katanya, berhak membangkitkan isu tanggungjawab demokrasi dan pentadbiran yang baik oleh kerajaan Abdullah kerana projek itu dibatalkan selepas tiga minggu kerja pembinaannya dimulakan.
Tindakan bekas Perdana Menteri yang begitu keras mengkritik pentadbiran Abdullah kerana pembatalan pembinaan jambatan tersebut untuk menggantikan Tambak Johor di sebelah Malaysia, katanya lagi, memerlukan perhatian kerana terdapat percanggahan dalam penjelasan yang diberi oleh kerajaan.
Contohnya, kata Lim, Menteri Luar, Dato' Seri Syed Hamid Albar mengakui Isnin lalu bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan itu tanpa persetujuan negara jirannya, yang jelas bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini.
Minggu lalu, dalam reaksi segeranya terhadap keputusan kerajaan itu, Syed Hamid berkata, "undang-undang menyebelahi kita dan Malaysia akan menang sekalipun jika Singapura membawanya ke mahkamah antarabangsa."
Apabila Syed Hamid menjelaskan bahawa kabinet telah membincangkan perkara tersebut 'secara terperinci', Lim bertanya sama ada perbincangan diadakan sewaktu atau selepas persaraan Dr Mahathir.
Lim juga mahu tahu apakah Peguam Negara bersifat konsisten dalam memberi nasihat mengenai kesan perundangan sekiranya Malaysia membina jambatan itu tanpa persetujuan negara jiran dan apakah Dr Mahathir dan anggota kabinet sebelum ini tidak mempedulikan pandangan perundangan dari Peguam Negara.
Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa sewaktu pemerintahannya, pihak media tidak pernah diarahkan supaya jangan menyiarkan laporan berita tertentu, Lim mempertikaikannya.
Ketua pembangkang itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'tidak benar sama sekali', kecuali tindakan tersebut dilakukan di luar pengetahuan Dr Mahathir.
"Adakah Mahathir (sekarang) bersetuju supaya siasatan awam yang sepenuhnya dijalankan mengenai bagaimana kerajaannya tidak mengawal pihak media sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri?"soalnya lagi.
Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment