Monday, April 10, 2006

‘Nik Aziz patut kritik RMK-9 dalam Debat Perdana’

KEPALA BATAS: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, patut menyertai program Debat Perdana di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sekiranya Pas benar-benar ikhlas untuk memberi pandangan mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pembangkang tidak patut hanya mengkritik dan memperkecilkan RMK-9 dengan melakukan secara tersembunyi menerusi ceramah sehingga mengelirukan rakyat.

"Jangan cakap secara menyorok, pergi ke RTM (terima pelawaan) dan cakap secara terbuka," katanya pada majlis Taklimat Mengenai Isu Semasa anjuran Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, di Kompleks Datuk Kailan di sini, semalam.

Sambil mencabar Nik Aziz supaya tampil dalam Debat Perdana, Muhammad berkata: ”Kita nak tengok sama ada Nik Aziz sanggup ke tak..kita tengok (nanti). Kita (Umno) berani kerana benar, takut kerana salah," katanya.

Kelmarin, Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, berkata RTM akan mempelawa Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu menyertai program Debat Perdana bagi membincangkan secara terbuka RMK-9 dari perspektif Islam.

Jemputan itu berikutan kesediaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa bersemuka dengan Nik Aziz dalam perdebatan terbuka di RTM.

Sementara itu, Muhammad turut membidas PAS dan Parti Keadilan kerana mengadakan demonstrasi dengan memburukkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, baru-baru ini.

Beliau berkata, adalah lebih baik parti itu memberi tumpuan kepada kedudukan mereka di Kelantan yang kini ibarat ‘teluk di hujung tanduk'.

"Mereka hanya ada satu kerusi majoriti di Kelantan dan Nik Aziz kini dah tidak boleh tidur malam," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad meminta ahli Umno menangkis apa juga kritikan pembangkang ke atas Abdullah yang disifatkannya sebagai ‘Panglima Umno’.

BH - 10 Apr 2006

No comments: