Thursday, April 27, 2006

BNM: Kadar faedah naik lagi

Oleh KHAIRUDDIN MD. AMIN

KUALA LUMPUR 26 April - Bank Negara Malaysia (BNM), seperti dijangka, menaikkan kadar faedah buat kali ketiga dalam tempoh lima bulan hari ini dengan mengumumkan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas atau 0.25 mata peratusan kepada 3.50 peratus.

Bank pusat sebelum ini menaikkan penanda aras bagi kadar faedah itu pada 30 November dan 22 Februari lalu, masing-masing sebanyak 30 mata asas dan 25 mata asas.

Dengan peningkatan tersebut, kadar tertinggi dan terendah bagi OPR masing- masing dinaikkan kepada 3.75 peratus dan 3.25 peratus.

Menurut BNM, berdasarkan jangkaan semasa dan hadapan, OPR hanya perlu diubah apabila perkembangan dan maklumat baru diperoleh pada masa hadapan.

Inflasi

“Kadar inflasi dijangka lebih tinggi pada separuh pertama 2006 dan menjadi sederhana pada separuh kedua.

“Peningkatan inflasi semasa telah diambil kira dalam unjuran inflasi purata bagi tahun 2006 yang dibuat terdahulu,” kata BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Inflasi meningkat ke paras 4.8 peratus pada bulan lalu, kadar tertinggi dalam tempoh hampir tujuh tahun.

Bank pusat itu berkata, harga semasa yang lebih tinggi mencerminkan kos yang meningkat dan tiada tanda-tanda jelas terdapatnya kesan inflasi pusingan kedua.

Bagaimanapun, BNM turut menekankan bahawa OPR pada paras baru itu masih berada di bawah tahap neutral.

“Pada masa depan, dasar monetari akan mengimbangkan risiko terhadap kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan,’’ katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, dengan jangkaan peningkatan pertumbuhan perdagangan dunia yang kukuh pada tahun ini, negara akan mendapat manfaat secara langsung melalui peningkatan eksport serta terma perdagangan yang lebih baik hasil daripada peningkatan harga eksport barangan komoditi.

“Perbelanjaan dalam negeri juga dijangka terus mapan,” jelasnya.

BNM berkata, perbelanjaan pengguna dijangka terus disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan yang kukuh, keadaan kredit yang menggalakkan dan kesan positif daripada prestasi luaran yang memberangsangkan.

Utusan Malaysia

No comments: