Monday, June 01, 2009

3 projek I'DA World RM1 trilion

Oleh sarah nadlin rohim
sarah.rohim@utusan.com.my

KELANA JAYA 31 Mei - I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) akan membangunkan tiga projek mega bernilai AS$300 bilion (RM1.06 trilion) di utara Semenanjung.

Tiga projek mega itu membabitkan pembinaan lebuh raya (Hubungan Timur-Barat) dan saluran paip gas dan minyak sepanjang 300 kilometer yang bermula dari Tumpat, Kelantan sehingga Kuala Perlis dan Kuala Kedah, pembangunan di Pantai Sri Tujuh (PS7), pembangunan integrasi di Tumpat serta bandar peranginan di Pasir Mas, Kelantan.

Pengerusi Eksekutifnya, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, pembangunan projek tersebut akan dibiayai melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan tidak menggunakan sumber kerajaan.

''Kita telah mendapat persetujuan daripada kerajaan untuk membangunkan projek tersebut dan ia dijangka bermula pada Ogos ini dan bakal siap sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang.

''Bagi pembiayaan projek-projek tersebut, ia akan dijana daripada syarikat-syarikat berkaitan bersekutu kami, selain aset lain di luar negara untuk meneruskan projek ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahim, jumlah pembiayaan awal adalah sebanyak AS$50 bilion (RM174.5 bilion) yang akan dibahagikan kepada tiga pakej, iaitu AS$35 bilion (RM122.15 bilion) untuk PS7, AS$10 bilion (RM34.9 bilion) untuk lebuh raya East-West Link dan AS$5 bilion (RM17.45 bilion) untuk projek Pasir Mas.

Katanya, projek PS7 akan mempunyai pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa, pusat pendidikan dan sains serta bandar pelabuhan

Manakala, bandar peranginan pula akan mempunyai pusat pentadbiran seperti Putrajaya, hotel dan resort serta taman tema air.

Selain itu, Abdul Rahim menjangkakan projek tersebut akan menjana lebih sejuta peluang pekerjaan dan membantu memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

''Tujuan utama I'DA World adalah membuka peluang kepada orang ramai selain membantu menjana ekonomi negara,'' katanya.

I'DA world merupakan syarikat pembinaan yang ditubuhkan pada April tahun lalu.

Utusan Online 1 Jun 2009

3 comments:

Anonymous said...

is this project real?

Anonymous said...

i dont think so

Anonymous said...

dlm byk2 pengumuman projek di setiap koridor yg wujud, yg ni mmemang aku paling sangsi dan x kurang terasa kelakarnya. bukan ape, kedengarannya melampau je. entah siapa en rahim ni. n company mana lak ni? apa motif dia umum kt paper? namun, hasrat itu sungguh mengharukan. kalaulah impian menjadi realiti..