KOTA BHARU 2 Jun - Sebuah lagi mercu tanda di pusat bandar ini akan dibangunkan dalam tempoh terdekat ini yang dikenali sebagai Bazar Tok Guru dan Madinatur Raudah atas tapak seluas 2.36 hektar.
Projek bersepadu di atas tapak bekas Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu yang dibangunkan secara berperingkat akan menyediakan lebih banyak kemudahan ruang bagi peniaga kecil tempatan di samping hotel bertaraf lima bintang dan apartmen.
Ia mempunyai reka bentuk tradisi seni bina Islam dan Melayu yang dijangka akan menjadi salah satu daya tarikan untuk muncul sebagai pusat perniagaan utama dan juga produk pelancongan.
Upacara pecah tanah bagi memulakan projek itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Bagaimanapun nilai kos bagi pojek yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan dengan kerjasama Sensa Timur Sdn. Bhd. sebagai rakan kongsi tidak diumumkan.
Dalam sidang media selepas majlis, Nik Abdul Aziz berkata, fasa pertama melibatkan pembangunan Bazar Tok Guru yang dikhususkan kepada golongan peniaga kecil yang sebelum ini menjalankan perniagaan di Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Arked Uda.
''Jika sebelum ini kebanyakan negeri lain yang membangunkan sesuatu projek akan kehilangan peniaga Melayu kerana kawasan tersebut didirikan rumah mewah, kita akan memastikan perkara yang sama tidak berulang di sini.
''Peniaga lama di pasar MPKB dan Arked Uda berhak beroperasi di kawasan yang lebih strategik, selamat, selesa dan terancang kerana mereka merupakan tulang belakang untuk memasarkan produk-produk tempatan kepada pelancong selama ini." ujarnya.
Katanya, bazar dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan mempunyai 400 unit ruang niaga dan menjual pelbagai produk termasuk kain batik, tudung, pakaian, barang perhiasan yang menarik minat pelanggan.
''Sebagai tambahan kemudahan kepada pengunjung, jalan baru akan dibina bagi menghubungkan Jalan Sultan Ibrahim dan Jalan Mahmood di hadapan Bazar Tok Guru," katanya.
Menurut beliau, pembangunan di kawasan itu kemudiannya akan disusuli dengan pembangunan fasa ke dua dikenali sebagai Madinatur Raudhah.
''Fasa kedua itu mengandungi hotel bertaraf lima bintang, apartmen dan premis-premis perniagaan dan dibuka kepada kumpulan usahawan dan peniaga besar," ujarnya.
Utusan Online 2 Jun 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment