Monday, May 14, 2007

Amrose Air dijangka mula perkhidmatan awal 2008

SEBUAH syarikat penerbangan baru, Amrose Air Sdn Bhd merancang menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baru sebagai hab penerbangan sewa khas khusus untuk negeri di Pantai Timur dan Selatan Thailand.

Amrose Air adalah anak syarikat Emaslink New Pacific Management Sdn Bhd, syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan pengurusan dan pelancongan.

Naib Presiden Emaslink, Rosmawati Ismail, berkata Amrose Air kini dalam perancangan membeli atau menyewa sebuah pesawat jarak jauh dan sebuah jarak dekat.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu dijangka memulakan perkhidmatannya awal tahun depan dengan perancangan peringkat awal mengendalikan empat hingga lima penerbangan umrah sebulan.

"Kami masih menunggu kelulusan pihak berkuasa bagi membolehkan mengendalikan perkhidmatan," katanya.

Rosmawati berkata, pembabitan Amrose Air yang berpejabat di Kota Bharu dalam perniagaan itu menjadikannya syarikat penerbangan sewa khas tidak berjadual.

Katanya, syarikat penerbangan itu yang menggunakan slogan ‘Amrose Flying People’ akan menumpukan kepada pakej umrah dan haji terutama untuk negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta wilayah Selatan Thailand.

"Dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu, ia lebih menjimatkan masa selain memudahkan pengguna," katanya.

Beliau berkata, Amrose Air sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat pelancongan serta pengendali umrah dan haji di Pantai Timur dan Selatan Thailand dan sambutannya menggalakkan.

Katanya, syarikat itu juga berharap mengendalikan penerbangan terus jemaah haji dari Selatan Thailand dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

"Kami juga merancang bekerjasama dengan syarikat pelancongan tempatan bagi menawarkan pakej lawatan ke pulau yang di Pantai Timur seperti Perhentian, Redang dan Tioman selain destinasi menarik di rantau ini," katanya.

..BH

No comments: