Friday, December 15, 2006

Tol lima lebuh raya naik -- Antara 30 sen dan RM1 berkuat kuasa 1 Januari 2007

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Berkuat kuasa 1 Januari ini, kadar tol di lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang akan dinaikkan antara 20 peratus hingga 60 peratus atau 30 sen hingga RM1.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya KL-Karak dan Lebuh Raya Koridor Guthrie.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kenaikan kadar tol itu telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Katanya, kenaikan itu perlu kerana ia telah termaktub dalam perjanjian konsesi masing-masing.

Sebelum keputusan diambil, satu kajian telah diadakan sejak Januari 2005 dan didapati kenaikan tol bagi kelima-lima lebuh raya itu mesti dilaksanakan bagi mengelakkan pembayaran pampasan yang tinggi.

“Dari tahun 2002 iaitu selepas penyusunan semula kadar tol dibuat, kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM2.589 bilion sehingga tamat konsesi kelima-lima lebuh raya tersebut,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan Kadar Tol Baru di sini, hari ini.

Menurut Samy Vellu, kadar baru LDP bagi kelas 1 ialah RM1.60, kelas 2 (RM3.20), kelas 3 (RM4.80), kelas 4 (0.80 sen) dan kelas 5 (RM1.60).

“LDP yang mempunyai konsesi selama 33 tahun telah dilanjutkan selama setahun lagi iaitu akan tamat pada 23 April 2030 dengan kos pembangunan projek sebanyak RM1.42 bilion.

“Penurunan kadar tol dari RM1.50 kepada RM1.00 telah mengakibatkan kerajaan terpaksa membayar pampasan kira-kira RM479.7 juta untuk tempoh 1999 hingga 2006.

“Mengikut perjanjian, sepatutnya tol di LDP dikenakan pada kadar RM2.10 namun keputusan kerajaan hanya membenarkan RM1.60 dan ini bermakna kerajaan terpaksa menanggung sebanyak 50 sen.

“Untuk 50 sen itu, pada tahun depan, kerajaan harus membayar sebanyak RM75 juta dan begitu juga tahun seterusnya. Ini bermakna sebanyak RM150 juta harus dibayar dalam masa dua tahun ini dengan satu tahun tambahan konsesi,” jelasnya.

Sementara itu, kata Samy Vellu, bagi Lebuh Raya Shah Alam, kadar tol bagi kelas 1 ialah RM2.20, kelas 2 (RM3.30), kelas 3 (RM4.40), kelas 4 (RM1.10) dan kelas 5 (RM1.70). Ini bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Jelas beliau, konsesi lebuh raya ini selama 28 tahun sembilan bulan dan dilanjutkan selama dua tahun lagi yang akan tamat pada 19 Ogos 2024 dengan kos pembangunan projek RM1.3 bilion.

“Sebelum kerajaan menyusun struktur kadar tol lebuh raya ini, pada mulanya terdapat 12 kenaikan sepanjang tempoh konsesi tetapi setelah penyusunan semula pada tahun 2002, hanya lima kenaikan akan dilaksanakan bagi tempoh tersebut.

“Jumlah nilai pampasan yang diberi kepada syarikat konsesi ialah RM371.8 juta,” katanya.

Menurutnya, bagi syarikat Lebuh Raya Cheras-Kajang yang dibina pada kos RM330 juta, pengguna kelas 1 (Batu 9) RM1, kelas 2 dan 3 (RM2.00), Kelas 4 (RM0.50) dan kelas 5 RM1 manakala kelas 1 di Tol Batu 11 pula ialah 90 sen, kelas 2 dan 3 (RM1.80), kelas 4 (50 sen) dan kelas 5 (90 sen).

“Kerajaan telah menetap hanya empat sahaja kenaikan akan dikenakan sepanjang konsesi iaitu sehingga tahun 2012 dan bukannya tujuh kenaikan seperti perjanjian asal dengan jumlah pampasan sebanyak RM336 juta,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Samy Vellu, bayaran tol bagi Lebuh Raya KL-Karak (Gombak) RM5 (naik RM1) bagi kelas 1, RM10 (Kelas 2), RM15 (Kelas 3), RM2.50 (Kelas 4) dan RM5 (Kelas 5).

Di Bentong, pengguna perlu membayar untuk kelas 1 sebanyak RM3 (naik 50 sen) RM6 (Kelas 2), RM9 (Kelas 3), RM1.50 (Kelas 4) dan RM3 (Kelas 5).

Ujar beliau, konsesi untuk lebuh raya itu selama 32 tahun dan lanjutan konsesi selama enam tahun iaitu yang bermula pada tahun 1994 dan hanya akan tamat pada 2032 dengan kos pembinaan sebanyak RM568 juta.

“Pada mulanya pengguna lebuh raya ini perlu melalui 13 kenaikan sepanjang tempoh konsesi, tetapi selepas penyusunan semula telah berkurangan kepada enam sahaja dengan jumlah pampasan yang diberi kepada syarikat ialah RM1.197 bilion,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, bagi Lebuh Raya Koridor Guthrie untuk tempoh 2007 hingga 2011, kenaikannya ialah RM1.40 (naik 40 sen).

“Sehubungan itu dengan kenaikan yang berkuatkuasa 1 Januari ini, LDP mengalami 60 peratus kenaikan, Lebuh Raya Shah Alam (47 peratus), Lebuh Raya Cheras (43 peratus hingga 50 peratus), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (20 peratus hingga 25 peratus) dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (40 peratus),” jelasnya.

Utusan Online 15 Dis 2006

No comments: